MyCNews

24 July 2013

Desa Murni Batik - kreativiti 30 pereka muda lepasan institusi pengajian tinggi tempatan

Sambutan menggalakkan khususnya pembeli wanita mendorong Sasaliza Mohd Sirin memilih untuk membuka cawangan francais butik Desa Murni Batik.

Tambah pengurus butik cawangan Shah Alam itu, galakan pihak kerajaan melalui kempen pemakaian batik seminggu sekali dalam kalangan kakitangan kerajaan juga membuat beliau tambah yakin yang pasaran batik tidak akan susut.
Sasaliza berkata, rekaan dan corak batik sentiasa berubah mengikut peredaran semasa dan juga permintaan daripada orang ramai.

"Melalui rekaan terkini dan moden, didapati pasaran kian meningkat terutama wanita yang memilih batik untuk fesyen kurung, kebaya, kurung moden dan terkini turut digayakan melalui rekaan gaun labuh dan jubah.

"Situasi ini mendorong pembukaan butik di Shah Alam, khusus bagi memenuhi permintaan peminat batik di sekitar Lembah Klang. Uniknya, walaupun kesemua batik dihasilkan di Kuala Terengganu tapi rekaan, warna dan corak adalah berdasarkan cita rasa masyarakat urban yang tinggal di sini," katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Butik Desa Murni Batik, di Shah Alam, baru-baru ini.

Simbolik perasmian butik disempurnakan duta Desa Murni Batik, Erra Fazira dan diiringi Pengarah Urusan Desa Murni Batik Sdn Bhd (DMBSB), Mohd Suhaimi Embong.

DMBSB adalah sebuah syarikat pengeluar batik bumi putera yang memulakan operasi mengeluar dan menjual batik sejak 1974 diusahakan Embong Su di Kampung Pulau Rusa, Kuala Terengganu dan kini diwarisi anak lelakinya, Mohd Suhaimi.

Gandakan pengeluaran batik


Mohd Suhaimi berkata, melalui pembelian mesin mencecah ratusan ribu ringgit, syarikatnya kini berjaya menggandakan pengeluaran batik kepada hampir 2,000 helai sebulan.

"Saya bangga kerana DMBSB muncul sebagai pengguna teknologi digital yang pertama di negara ini untuk teknik melukis, mencetak dan mewarna malah terbaru untuk melekat batu hiasan.

"Sekitar 1995, batik diproses secara cetakan tangan dan mendapat sambutan baik di kalangan pengusaha.
Selari peredaran zaman dan kecanggihan teknologi, syarikat memperkenalkan hasil teknik batik sutera digital pada 2005 yang sebelum ini dimonopoli pengusaha Itali dan Jepun.

"Kaedah moden ini diperakui memudahkan proses kerja, pantas, menjimatkan masa mencetak dan memproses namun syarikat berusaha mengekalkan konsep batik sedia ada yang kita warisi daripada mereka terdahulu," katanya.

Bagaimanapun, apa yang membanggakan, batik sutera digital keluaran syarikatnya mampu bersaing di pasaran dan menarik perhatian khalayak yang sentiasa mencari pembaharuan dan kelainan.

"Desa Murni Batik hari ini menawarkan lebih 100,000 rekaan hasil kreativiti 30 pereka muda lepasan institusi pengajian tinggi tempatan dan bidang seni reka.

"Melalui idea mereka yang sentiasa segar ini pelanggan berpeluang menempah corak, rekaan dan warna diingini dalam tempoh singkat namun terjaga kualitinya," katanya.

Batik Gangnam, motif abstrak

Sementara itu, Mohd Suhaimi, berkata tahun ini pihaknya mensasarkan membuka cawangan baru bagi memberi peluang orang ramai mengenali keistimewaan batik Desa Murni.

Batik katanya, cukup popular di Pantai Timur terutama Terengganu dan Kelantan dan kini ia mendapat sambutan baik di Lembah Klang.

"Sejak awal tahun, DMBSB menyiapkan rekaan terkini, moden dan memenuhi cita rasa peminat batik khususnya batik digital yang semakin disukai wanita luar Pantai Timur. Sambutan menggalakkan ini mendorong syarikat menghasilkan lebih banyak rekaan baru," katanya.

Empat rekaan terkini dihasilkan dijangka menarik perhatian ramai kerana menggunakan corak abstrak digabung dengan rekaan bunga yang kelihatan hidup menggunakan teknologi digital.

Desa Murni Batik memperkenalkan empat rekaan yang mempunyai kelainan corak yang menarik antaranya dinamakan Batik Gangnam Style.

"Turut diperkenalkan koleksi Fabiola Batik Style menampilkan corak moden digabung rekaan geometri, Genovia Batik Style bercorak klasik moden dengan susunan bermotif flora dan abstrak serta Batik KL Style mengetengahkan corak abstrak dengan latar belakang kosong atau bercorak flora minimal," katanya.

Selain mengeluarkan batik sutera digital, DMSBS turut menawarkan tudung eksklusif tudung eksklusif Miffa bagi memenuhi permintaan wanita yang menggemari fesyen tudung bawal.

"Tudung bawal ini dihasilkan dengan cetakan motif flora digabungkan dengan corak abstrak dengan gandingan warna menarik termasuk corak batik. Hiasan batu berlian di atas tudung menambah kilauan dan seri pemakai," katanya
Share This

No comments:

Post a Comment

Designed By Blogger Templates