Kuala Lumpur: Selepas Lions XII, skuad 23 tahun Singapura menjuarai Liga Super, Sabtu lalu, bola sepak Malaysia sekali lagi dipalit malu apabila pasukan utama republik itu melonjak sembilan anak tangga dari kedudukan 165 kepada 156 ranking dunia, semalam.
Dalam senarai baru dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) itu, Harimau Malaya kekal pada kedudukan ke-159, berada tiga mata di belakang Singapura.
Berbeza dengan Singapura yang sedar ranking begitu penting, skuad republik itu yang kecewa dengan tindakan Malaysia menolak aksi persahabatan, pantas mencari lawan lain sebagai ganti dan hasilnya dua kemenangan ke atas Laos (5-2) dan Myanmar (2-0), mengubah kedudukan mereka.
Keputusan jurulatih skuad negara, Datuk K Rajagobal untuk menentang tiga pasukan kelab di Australia dan menolak aksi persahabatan kelas A dengan Singapura terbukti 'bukan keputusan bijak' apabila Harimau Malaya dipintas negara jiran itu dalam kedudukan ranking dunia.
Berbeza dengan Singapura yang sedar ranking begitu penting, skuad republik itu yang kecewa dengan tindakan Malaysia menolak aksi persahabatan, pantas mencari lawan lain sebagai ganti dan hasilnya dua kemenangan ke atas Laos (5-2) dan Myanmar (2-0), mengubah kedudukan mereka.
Perkhabaran baru ini bukan saja mengejutkan peminat bola sepak negara, malah memberi tamparan hebat buat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang dilihat terus 'memanjakan jurulatih kesayangannya - Rajagobal' dalam usaha membentuk skuad kebangsaan lebih mantap sekali gus menempatkan kedudukan bola sepak negara kepada tahap lebih baik.
Bekas pemain kebangsaan, Shukor Salleh, berkata ini yang akan terjadi jika skuad negara tidak mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa kelas A.
"Kita orang luar tidak boleh buat apa-apa kerana semua keputusan dibuat pengurusan pasukan. Singapura pantas memanfaatkannya dengan mengadakan aksi persahabatan itu sekali gus berjaya menumpaskan Laos dan Myanmar," katanya semalam.
Pada Januari lalu, skuad negara menghuni tangga ke-158, Februari (159), Mac (164), April (163) dan Mei (161). Kedudukan terbaru itu meletakkan mereka setaraf Palestin (151), Bangladesh (152), Maldives (154) dan Chad (160).
Di Asia, Malaysia kekal ke-31 daripada 46 negara.
Malaysia sepatutnya bertemu Singapura pada 4 dan 7 Jun lalu, namun dibatalkan atas alasan persetujuan bersama sebaliknya mengambil keputusan untuk berlatih di Australia dan mengadakan aksi persahabatan menentang kelab, Canberra All Stars, Marconi Stallions FC, dan Sydney United FC.
Pada kunjungan ke Australia itu, skuad Rajagobal mencatatkan satu kemenangan dan dua kali kalah. Tewas 3-2 kepada Canberra FC pada aksi pembukaan, menang 3-0 ke atas Sydney Olympic dan kalah 2-0 kepada Marconi Stallions.
Kejayaan menumpaskan Sydney Olympic itu sebenarnya tidak membawa apa-apa makna dalam kedudukan ranking dunia bola sepak negara.
INFO: Ranking Malaysia di Asia Tenggara
1 Thailand (138)
2 Filipina (144)
3 Vietnam (145)
4 Singapura (156)
5 Malaysia (159)
6 Myanmar (163)
7 Indonesia (168)
8 Laos (173)
9 Brunei (182)
10 Timur Leste (182)
11 Kemboja (198)
No comments:
Post a Comment