MyCNews

26 April 2013

Mampukah Ibrahim Ali Tumbangkan Nik Abduh?

Mimpi indah Nik Mohammad Abduh, anak lelaki kesayangan Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mengambil kesempatan dalam pertarungan tiga penjuru di Parlimen Pasir Mas akhirnya berkecai apabila calon BN, Che Johan Che Pa tidak menghantar borang pencalonan.

Che Johan dalam satu kenyataannya secara terbuka memohon maaf di atas tindakannya itu sambil menjelaskan ia dilakukan selepas mengambil kira betapa pentingnya dielakkan pertandingan tiga penjuru yang sekiranya berlaku hanya akan menguntungkan PAS.
Berikutan senario itu, Nik Abduh terpaksa berdepan cabaran satu lawan satu menentang calon Bebas, Ibrahim Ali yang pastinya menjanjikan pertarungan cukup sengit yang menjadikan Pasir Mas sebagai satu lagi kerusi panas yang menjadi tumpuan ramai.

Ibrahim ali PerkasaPerkembangan saat akhir penamaan calon ini memang mengecewakan Nik Abduh dan ayahandanya yang sebelum ini cukup yakin PAS akan meraih kemenangan mudah hasil dari pertandingan tiga penjuru itu.

Andai diketahui ini yang berlaku pastinya keputusan asal meletak Nik Abduh bertarung di kerusi selamat, Parlimen Rantau Panjang dikekalkan manakala penyandangnya pula yang merupakan pemimpin muslimah PAS iaitu Siti Zailah Mohd Yusof dibiarkan terkontang konteng di Pasir Mas.

Namun apa yang berlaku ketentuan takdir Illahi, sama ada Nik Abduh mahu pun Nik Aziz perlu menerima hakikatnya dan tidak guna merungut menyalahkan sesiapa.

Yang penting rakyat Kelantan agak teruja untuk mengetahui siapa yang akan muncul sebagai pemenang dan siapa pula yang akan tumbang.

Diambil kira dari segi pengalaman dan hubungan rapat dengan penduduk setempat, tidak syak lagi Ibrahim Ali yang juga adalah Presiden PERKASA memiliki kelebihan terbaik dalam PRU-13 ini untuk mengekalkan kerusi yang dimenanginya pada PRU-12 2008.

Nik Abduh pula hanyalah orang luar yang sekelumit jasa bakti pun tidak pernah dilakukannya untuk kepentingan penduduk Pasir Mas. Kiranya aspek itu yang menjadi pertimbangan para pengundi memang sukar sekali untuk putera MB Kelantan itu menang.

Bagaimana pun satu faktor yang tidak boleh dipandang remeh oleh Ibrahim Ali ialah Nik Abduh sebagai anak lelaki paling disayangi Nik Aziz pastinya akan berusaha keras menjual nama bapanya bagi menarik perhatian pengundi.

Ia pernah berjaya dilakukan dalam usahanya merebut jawatan parti, jadi tentu sahaja ia berpeluang untuk memanfaatkannya sekali lagi. Soal kerja buat untuk rakyat itu kemudiannya punya cerita, yang penting Nik Abduh adalah anak bapak , bukan begitu?

Sekiranya faktor kekeluargaan dijadikan asas dan saki baki pengaruh Nik Aziz diambil kira, jelas sekali Ibrahim Ali bukan lawan Nik Abduh. Dari sudut ini ternampak seperti sukar untuk Nik Abduh ditumbangkan.

Apatah lagi PAS Kelantan juga tidak akan membiarkan Nik Abduh semudah itu diratah oleh Ibrahim, justeru itu sepanjang kempen pilihan raya ini PAS akan mengerahkan segala jenteranya berkubu menggempur Pasir Mas demi memastikan air muka Mursyidul Am PAS terjaga.

Nik Aziz pula dikhabarkan akan memberi perhatian khusus di Parlimen Pasir Mas dengan memanfaatkan pengaruhnya dan akan lebih kerap berulang alik berceramah serta menyertai pelbagai aktiviti kempen demi memastikan anaknya menang kali ini.

Persoalannya, mampukah Ibrahim Ali menghadapi semua cabaran ini sekali gus menumbangkan anak Nik Aziz? Buat masa ini sukar ditentukan, tapi jika semarak Gelombang Merah UMNO Merentah gagal dicegah oleh PAS, ada harapan untuk tengok seorang anak MB terjelepok dalam longkang.


--- [Sila tuliskan hujah bernas anda di bawah ini]
Share This

No comments:

Post a Comment

Designed By Blogger Templates