MyCNews

28 June 2013

8 Julai tarikh akhir mohon visa Umrah

Riyadh: Kementerian Luar Arab Saudi mengumumkan tarikh 8 Julai sebagai tarikh akhir untuk memohon visa Umrah.

Semua misi diplomatik Arab Saudi di seluruh dunia akan terus mengeluarkan visa Umrah sehingga akhir bulan Syaaban, kata Osama Nugali, jurucakap kementerian berkenaan.
Menurut statistik Kementerian Haji, empat juta visa Umrah sudah dikeluarkan tahun ini.


Prosedur rutin setiap tahun

Ini adalah prosedur rutin setiap tahun oleh Arab Saudi, kata ejen pelancongan, Arif Kannauji, yang bekerja untuk pengendali tempatan Haji dan Umrah di sini.

Setiap tahun, kami diminta supaya tidak menerima sebarang permohonan visa Umrah ketika Ramadan, katanya.

Tindakan itu adalah untuk memastikan semua yang berhasrat menunaikan Umrah menerima visa pada masa ditetapkan, iaitu ketika bulan Syaaban.
Ia biasanya mengambil masa seminggu hingga dua minggu untuk mendapatkan visa itu.

Musim Umrah bermula pada bulan Safar, bulan kedua dalam bulan Islam, sehingga akhir Ramadan.

Sehingga 1 Julai, kira-kira 3.8 juta jemaah mengerjakan Umrah, peningkatan 400,000 berbanding tempoh sama tahun lalu, menurut laporan Kementerian Haji baru-baru ini.

Di JEDDAH, kos menunaikan Haji dan Umrah tempatan dijangka meningkat musim ini, menurut penyedia perkhidmatan jemaah.

Peningkatan harga itu menyebabkan penyedia perkhidmatan berkenaan menggesa campur tangan kerajaan supaya mengawal harga.

Kelewatan dalam menerima khemah jemaah memburukkan masalah penyedia Umrah dan Haji.

Pengarah Syarikat Haji dan Umrah Al-Ehsan, Abdullah Al-Ghamdi, mengakui bahawa kelewatan menerima khemah adalah satu masalah tahunan yang juga satu pelanggaran kontrak dengan jemaah.

Proses penghantaran perlu bermula pada awal Syawal, supaya setiap penyedia boleh membuat persiapan diperlukan, tambahnya

Final Piala FA - Nwaneri kunci Mat Yo, Awe akan dirantai

Kota Bharu: Tonggak pertahanan Kelantan, Obinna Nwaneri (gambar) mengakui sudah mengetahui corak permainan penyerang Johor Darul Takzim (DT), Norshahrul Idlan Talaha dan mampu mengunci ketat pergerakan pemain itu pada final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Nwaneri berkata, dia banyak belajar corak permainan Norshahrul atau Mat Yo daripada perlawanan Liga Super dengan Johor DT selain beraksi dengan pemain itu dalam skuad TRW musim lalu.
Pemain berusia 31 tahun dari Nigeria itu berkata, kelebihan mengetahui corak permainan Mat Yo itu bakal digunakan sepenuhnya pada final malam esok dan akan memberi tekanan kepada bekas pemain Kelantan itu.


Saya dan Mat Yo pernah bermain dalam satu pasukan. Saya sudah dapat memahami corak permainannya. Kelebihan itu akan saya gunakan dalam perlawanan akhir nanti.

Awe juga akan dirantai

Pergerakannya akan dirantai dan saya yakin dia tidak mampu untuk bergerak bebas di barisan serangan Johor DT, katanya, semalam.

Selain Mat Yo, Nwaneri juga mengakui pergerakan seorang lagi bekas pemain Kelantan, Nurul Azwan Roya atau Awe turut diberi perhatian kerana pemain itu yang menjadi pemusnah apabila menjaringkan gol kedua ketika TRW tewas 0-2 kepada Johor DT dalam perlawanan liga 22 April lalu.
Nwaneri berkata, dia turut menuntut semua rakan sepasukan bekerja keras pada perlawanan akhir itu bagi memastikan Piala FA dapat dikekalkan di Kelantan.

Dalam bola sepak, pasukan yang mampu memberi persembahan paling tinggi akan menang. Kita akan cuba memberi persembahan lebih daripada 100 peratus demi menjulang trofi pertama pada musim ini, katanya

2 pemain terbaik JDT dapat SUV Audi Q7 berharga rm550 000

Johor Bahru: Setiap seorang daripada dua pemain terbaik Johor Darul Takzim (DT) musim ini akan menerima ganjaran masing-masing sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Audi Q7 berharga RM550,000.Ganjaran yang diumumkan menerusi kenyataan media oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, semalam itu sebagai motivasi tambahan buat pemain Johor DT mempamerkan aksi cemerlang sekali gus menjuarai Piala FA ketika bertemu Kelantan pada final di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.
 
Sebelum ini, pasukan itu turut dijanjikan bonus lumayan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) sekiranya muncul juara Piala FA.


Sekiranya Johor DT menjuarai Piala FA, PBNJ akan memberi bonus yang lumayan kepada skuad itu dan skuad Liga Perdana, Johor. Dua pemain terbaik musim ini daripada Johor DT pula masing-masing akan menerima ganjaran sebuah SUV Audi Q7, katanya

Elak kecoh, provokasi

Tunku Ismail yang juga Presiden PBNJ turut menyeru penyokong Johor DT sentiasa menjaga disiplin dan tingkah laku ketika hadir ke stadium untuk menyaksikan perlawanan akhir itu, malam esok, serta perlawanan akan datang yang membabitkan pasukan itu.

"Elakkan daripada mencetuskan sebarang kekecohan dan provokasi. Sentiasa patuh kepada arahan pihak keselamatan yang bertugas.
Saya berharap penyokong kedua-dua pasukan menunjukkan semangat kesukanan dan persaudaraan, katanya yang akan mengadakan perjumpaan ramah mesra dengan penyokong Johor DT dan Kelantan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya Utara-Selatan, Seremban, esok

27 June 2013

Cara Semak Indeks Pencemaran Udara IPU Jerebu Malaysia Secara Online

Jerebu semakin teruk. Tempat admin pun sudah nampak kesannya. Rasa sangat tidak selesa. Semoga jerebu ini akan pulih segera.
Tempat anda bagaimana?
 
Pastikan jaga keselamatan anda dan keluarga. Panduan kesihatan ketika jerebu boleh rujuk di SINI. Yang penting, banyakkan meminum air masak.
Untuk mendapatkan info IPU secara online dan terkini, boleh rujuk
 
Sekiranya laman web DOE tidak boleh akses, kemungkinan sebab ramai pengguna cuba akses.

Hodak puji Ahmad Fakri

Kota Bharu: Ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak memuji persembahan penyerang The Red Warriors (TRW), Ahmad Fakri Saarani yang beraksi cemerlang pada saingan Liga Super menentang Pahang, di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, malam kelmarin.

Jurulatih berusia 42 tahun dari Crotia itu berkata, prestasi permainan Ahmad Fakri kini semakin meningkat apabila berjaya mencipta beberapa peluang terbaik pada perlawanan itu.
Katanya, beliau berharap bekas penyerang kelab Portugal Atletico SC itu dapat mengekalkan prestasi terutama menjelang perlawanan akhir Piala FA dengan Johor Darul Takzim (DT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.


"Ahmad Fakri bermain sangat baik malam ini (malam kelmarin). Dia berhak mendapat pujian apabila bekerja keras sepanjang perlawanan dan boleh dianggap sebagai pemain paling rajin.

"Dia berjaya mencipta beberapa peluang selain turut mendapat peluang untuk menjaringkan gol, namun hanya nasib tidak menyebelahinya.

Badhri, Zamri jadi wira

"Prestasinya baik setakat ini dan ia perlu dikekalkan menjelang perlawanan akhir Piala FA. Dia hanya perlu lebih tenang di hadapan pintu gol," katanya ketika ditemui selepas perlawanan Liga Super antara Kelantan dengan Pahang di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, malam kelmarin.
Dalam perlawanan itu, kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi dan Zamri Ramli menjadi wira TRW apabila masing-masing menyumbangkan satu gol untuk memastikan kemenangan 2-0 ke atas Pahang.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan Kelantan merampas kedudukan tangga kelima dalam liga daripada Pahang.

Selain itu, Hodak berkata, beliau turut gembira apabila pemain tengah, Indra Putra Mahayuddin sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan boleh diturunkan pada perlawanan akhir Piala FA.

Katanya, semua pemainnya berada tahap terbaik menjelang perlawanan akhir itu kecuali Dickson Nwakaeme yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

"Indra sudah pulih dan ia memberi impak yang baik kepada pasukan dalam melakukan persediaan untuk final Piala FA," katanya

NFCorp fail saman fitnah terhadap Rafizi

Kuala Lumpur: National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) dan Pengerusinya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail memfailkan saman fitnah ke atas seorang pemimpin PKR dan sebuah portal berita berhubung kenyataan berkaitan pinjaman pembelian hartanah KL Eco City.

Writ saman terhadap Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli selaku defendan pertama dan Mkini Dotcom Sdn Bhd, pemilik portal MalaysiaKini selaku defendan kedua, difailkan melalui melalui Tetuan Wan Shahrizal, Hari & Co di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, di sini 3 Jun lalu.
Semalam, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Siti Nur Shafrida Hashim menetapkan 19 Ogos ini untuk pengurusan kes saman terbabit.


Beri tempoh 14 hari

Peguam Mohamad Salleh, Wan Shahrizal Wan Ladin, ketika ditemui, berkata pihaknya memberi tempoh 14 hari sehingga 2 Julai ini untuk Mohd Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan dan Mkini Dotcom Sdn Bhd, memfailkan kehadiran di Mahkamah.

Beliau berkata, sekiranya kedua-dua defendan gagal berbuat demikian dalam tempoh ditetapkan, pihaknya akan memfailkan penghakiman ingkar terhadap mereka.

Dalam penyataan tuntutannya, Mohamad Salleh mendakwa, Mohd Rafizi pada 7 Mac tahun lalu, mengeluarkan kenyataan fitnah pada satu sidang akhbar di ibu pejabat PKR berhubung pembelian hartanah KL Eco City dan berita itu disiarkan Malaysiakini pada hari sama.
Pengerusi NFCorp itu berkata, saman berkenaan difailkan kerana kerugian yang ditanggung beliau susulan pembohongan, penyebaran maklumat mengelirukan serta pendedahan maklumat sulit perbankan dan fitnah oleh defendan.

Mohamad Salleh menuntut ganti rugi am, teladan dan ganti rugi teruk, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah selain memohon perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada terus mengelirukan dan menipu orang ramai berhubung isu pinjaman itu

Saintis kesan 3 planet boleh dihuni

London: Sekumpulan saintis antarabangsa, berjaya mengesan tiga planet yang berpotensi mempunyai kehidupan, berhampiran bintang dikenali Gliese 667c, kerana dipercayai mengandungi air.

Bintang Gliese 667c, berada pada jarak 22 tahun cahaya dari Bumi, diorbit antara enam hingga tujuh planet. Tiga daripada planet berkenaan dipercayai boleh dihuni.
Ketua pengkaji, Mikko Tuomi dari Universiti Hertfordshire, berkata suhu di sekitara bintang berkenaan adalah di dalam lingkungan yang membolehkan air wujud, elemen penting dalam kehidupan manusia.


Super-earth

Gliese 667c adalah sebahagian daripada sistem planet itu dan jika kita berada di sana, kita boleh melihat tiga matahari, katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga planet berkenaan dikenali sebagai super-earth yang lebih kecil daripada Neptune tetapi lebih besar daripada Bumi.

Wilayah orbit membolehkan ketiga-tiganya berpotensi mempunyai kehidupan, katanya.
Tuomi berkata dengan penelitian terbaru dan tinjauan semula ke atas data sedia ada, pihaknya dapat mengesahkan kewujudan ketiga-tiga planet berkenaan dan yakin akan menemui beberapa lagi yang lain

26 June 2013

Peraduan 'Nama Siapa Hebat' oleh Proton tawar hadiah RM120,000

PROTON Holdings Bhd akan melancarkan kenderaan jenis kompak serba baru, yang juga kereta mampu milik tanpa kompromi dari segi kualiti, pada awal tahun depan. Pengenalan model itu disasarkan kepada semua lapisan masyarakat yang gemarkan gaya hidup aktif dengan peningkatan dari aspek pemanduan serta ciri keselamatan. Model dari jenis kompak ini, hasil usaha bahagian penyelidikan dan pembangunan PROTON selama kira-kira tiga tahun lalu" Mohd Khamil Jamil, Pengerusi Eksekutif PROTONPengerusi Eksekutif PROTON, Tan Sri Mohd Khamil Jamil, berkata model kompak itu menjadi titik permulaan kepada pelancaran beberapa lagi barisan model baru lain di bawah jenama Proton.

Ia katanya, bakal membantu meningkatkan semula prestasi pengeluar kereta nasional itu untuk merampas kembali kedudukan sebagai peneraju pasaran kenderaan tempatan daripada Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), menjelang 2015.

"Kini, syarikat sedang dalam proses untuk melancarkan sebuah model serba baru dalam pasaran awal tahun depan.

"Model dari jenis kompak ini, iaitu hasil usaha bahagian penyelidikan dan pembangunan (R&D) PROTON selama kira-kira tiga tahun lalu, akan menjadi titik permulaan kepada pengenalan beberapa lagi model baru lain di masa depan.
"Kami yakin bersandarkan kepada kerja keras warga kerja serta peningkatan kembali sokongan rakyat Malaysia khususnya bagi model Saga SV, PROTON mampu merampas kembali kedudukan peneraju pasaran kenderaan tempatan dalam tempoh dua tahun lagi," katanya kepada media selepas melancarkan peraduan 'Nama Siapa Hebat' di Shah Alam, semalam.

Semua kategori

Mohd Khamil berkata, pengenalan beberapa lagi model baru PROTON nanti akan mewakili semua kategori kenderaan, bermula dari segmen A,B,C dan D.

Segmen A mewakili kenderaan jenis kompak; segmen B adalah kereta sedan bersaiz kecil (seperti Proton Saga); segmen C adalah jenis sedan yang sederhana besar, iaitu sesuai untuk yang berkeluarga seperti Persona dan Waja; manakala segmen D merujuk kepada kereta jenis sedan mewah.

Terdahulu, Mohd Khamil berkata, peraduan 'Nama Siapa Hebat' diperkenalkan bagi memberi peluang kepada semua warga negara yang berumur 12 tahun ke atas untuk menamakan kereta kompak baru yang bakal diperkenalkan PROTON awal tahun depan.
 
Syarikat anjur peraduan 'Nama Siapa Hebat' tawar hadiah RM120,000

"Kami adalah syarikat automotif negara. Justeru kami ingin berkongsi hak 'sebagai syarikat automotif negara' ini bersama seluruh rakyat Malaysia. Adalah menjadi kebanggaan kami untuk membabitkan semua lapisan rakyat dalam menamakan kereta PROTON yang baru ini," katanya sambil menambah model kompak serba baru itu bakal dikeluarkan di kilangnya di Tanjung Malim, Perak.

Pemenang utama peraduan yang bermula semalam dan berakhir pada 25 Julai itu akan memenangi versi premium model kompak berkenaan, manakala hadiah menarik lain termasuk pakej percutian, hadiah wang tunai dan alat elektrik bernilai lebih daripada RM120,000

Seni tudung saji

Tudung saji adalah keperluan penting kepada suri rumah khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu pada zaman dulu dan sekarang yang berfungsi menjadi penutup juadah daripada dihinggapi lalat dan dimasuki habuk. Pada zaman moden ini, tudung saji bukan sekadar itu saja, sebaliknya dijadikan perhiasan rumah, pejabat dan ruang tamu di hotel dan sesetengahnya dijadikan cenderahati untuk diberikan kepada pelbagai pihak. Kebanyakan tudung saji perhiasan dibuat dalam bentuk kecil beraneka warna dan corak mengikut tempahan dan kegemaran orang ramai.
Seorang pengusaha tudung saji di Kuantan, Noriah Tawang gigih menjalankan perusahaan berkenaan di kawasan rumahnya.

Ternyata tudung saji hasil kreativiti beliau mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pembeli di sekitar Pahang dan Kuala Lumpur.

Seni tudung saji
 
Anyaman warna-warni

Setiap tudung saji bersaiz kecil dijual antara RM12 hingga RM20 manakala saiz besar antara RM30 hingga RM35.
Pada awalnya, tudung saji yang dihasilkan untuk kegunaan sendiri tetapi lama kelamaan dijual kepada penduduk setempat, pelawat dan pelancong.

Dalam pada itu, Noriah berpeluang menambahkan pendapatan agak lumayan dengan dengan membuat tudung saji perhiasan.

Bahagian luar tudung saji berwarna-warni ini dianyam daripada daun pandan manakala dalamnya pula diperbuat daripada mengkuang dan bilah buluh

Kecoh tiket final

Penyokong Kelantan marah tak dapat beli tiket selepas datang seawal jam 6 pagi

Kota Bharu: Penjualan tiket final Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, semalam kecoh apabila sebilangan besar penyokong Kelantan tidak berpuas hati selepas tiket habis dijual dalam tempoh tidak sampai 15 minit.
 
Kedaaan bertambah buruk apabila mereka bertindak ganas dengan menendang salah satu pintu masuk stadium sehingga rosak dan mengejar kakitangan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang menjual tiket hingga ke kawasan padang.

Designed By Blogger Templates